Mungkin pada sesetengah orang, nama "Sosialisme Islam" ini sungguh jelek. Yalah, Islam kan sudah sempurna? Sudah lengkap seadanya. Buat apa mahu mencampur adukkan ideologi kafir dengan ad-din ("tidak, jangan kau bilang Islam itu setaraf ideologi!!") yang syumul? Nanti kelirulah fikrah umat. Larilah mereka dari Al-Quran dan sunnah.
Nampak sahaja tajuk buku ini, seseorang yang bilang fahaman Islamnya syumul lagi lengkap pasti menyangka penulis buku ini seorang yang diragui akidahnya, barangkali seorang syiah (seperti Ali Shariati atau Asghar Ali Engineer) atau seorang tokoh kiri yang tidak dikenali akan kewarakannya (Tan Malaka, Sutan Syahrir).
Tetapi penulis buku ini ialah Mustafa As-Siba'i, pengasas Ikhwanul Muslimin di Syria. Beliau bukanlah seorang yang berlatar belakangkan komunis ataupun sosialis sekular, sebaliknya beliau adalah lulusan Al-Azhar yang pernah berguru dengan Imam Hassan Al-Banna sendiri. Beliau sendiri menentang pemerintahan gabungan Syria-Mesir pada zaman Gamal Abdel Nasser dan juga pemerintahan parti Baa'th Syria sesudah pergabungan dua negara itu gagal. Kedua-duanya, iaitu Nasser dan Parti Baa'th Syria, mendokong fahaman suatu ideologi campuran unsur-unsur nasionalis Arab dan sosialisme. Agaklah aneh untuk seseorang ulama' menulis buku yang bertajuk "Sosialisme Islam" tatkala beliau sendiri seolah-olah menentang fahaman sosialis itu.
Yang menariknya tentang buku ini, dan yang membezakannya dari buku-buku "Sosialis Islam" yang lain, adalah kesemua sumber hujahnya berpandukan Al-Quran, sunnah serta sejarah umat Islam. Berbeza dengan tulisan Asghar Ali Engineer, yang pada pendapatku hanya memetik beberapa ayat Al-Quran, sedikit dari sejarah umat dan selebihnya ada tafsirannya sendiri yang agak liberal. Lagilah beza daripada Madilog Tan Malaka yang seakan-akan mempersoalkan ketauhidan Tuhan dan mendewakan ketidaktuhanan Barat.
Berpandukan Al-Quran dan sunnah sahaja sudah nampaklah bahawa Islam ini sifatnya sosialis. Anti-kemiskinan. Anti-perlambakan harta. Anti-monopoli. Anti-penindasan. Pro-musthadh'afin. Pro-keadilan. Pro-pekerja.
Buku ini juga tidak klise dengan hanya menekankan zakat sebagai bukti Islam itu sosialis. Selain dari zakat, Islam juga menggalakkan pemilikan awam sumber-sumber asasi (api, air, tanah) dan menjaga hak kaum pekerja. Begitu juga dengan hak wanita dan kanak-kanak (biarpun, secara jujurnya, aku merasakan bab ini kurang ditekankan dengan jelas dalam buku ini).
Tidak seperti komunisme, aspek akhlak sangat ditekankan di dalam Islam. Hendak memperjuangkan rakyat kenalah berakhlak. Janganlah jadi macam Lenin atau Stalin atau Nasser yang berakhlakkan kekuasaan, dan bukannya etika kemanusiaan.
Tidak seperti komunisme juga, Islam membenarkan perniagaan dan pemilikan harta peribadi, asalkan tiadanya unsur penindasan dalam jalan mengumpulkan harta itu.
Mustafa As-Siba'i telah membuktikan, dalam buku nipisnya ini, bahawa tidak perlulah merujuk kepada sumber-sumber luar untuk menunjukkan betapa sosialisnya Islam. Semuanya sudah ada. Islam secara fitrahnya bersifat revolusioner.
Namun, mengapa perlunya perkataan 'sosialis' itu? Mengapa tidak Islam sahaja?
Pendapatku sendiri: esensi Islam yang revolusioner, yang pro-keadilan, telah dilemahkan secara halus oleh ideologi kapitalisme yang pro-kekayaan. Banyak gerakan keagamaan, terutamanya di negara-negara Islam, dibiayai oleh pemodal-pemodal kaya atau pekerja-pekerja yang berharta. Maka tidak hairanlah sekiranya kegiatan dakwah sangat pro kepada golongan berharta dan mengabaikan musthad'iffin, melainkan dalam usaha-usaha 'charity' semata yang tidak membina. Selain itu, ramai pemimpin keagamaan mempunyai kepentingan harta dan kuasa untuk mengekalkan status quo (kemapanan), oleh itu, mereka (tidak semua) sering berpihak kepada yang kaya, yang membiayai gaji mereka. Perkahwinan songsang antara ideologi kapitalisme dan ritual agama telah menghasilkan anak hodoh yang disangkanya sebagai Islam yang syumul.
Seperti kata Asghar Ali Engineer, aspek ritual, yakni ibadah khusus semata, telah ditekankan secara melampau sehingga sifat kemasyarakatan Islam diabaikan. Islam yang syumul telah dipisahkan, disekularkan, dari perjuangan sosial. Pemisahan ini dilakukan bukannya oleh pendokong-pendokong sekular, tetapi oleh para pemimpinnya sendiri.
Pada zaman di mana doa boleh divaletkan, dan hukum Allah hanyalah permainan politik semata, layaklah dibangkitkan semula nama Sosialisme Islam ini untuk mengingatkan semula akan sifat ad-din yang sejati, dan bukannya tafsiran songsangnya yang sebenarnya menuruti hawa nafsu. Sehingga fitnah ini belum habis diperangi, selagi itulah sifat sosialisnya Islam perlu dilaungkan.